Surah Al Quran Sebagai Mahar

23:01





Bagi pasangan yang tidak mampu, mahar atau mas kahwin menjadi beban kepada mereka. Lalu mereka yang ingin bernikah terpaksa menangguh atau membatalkan rancangan mereka. Hal ini juga berlaku semasa zaman Rasulullah SAW.

Pada suatu hari datanglah seorang perempuan menemui Rasulullah SAW. Melihat pada wajahnya, Rasulullah SAW dapat menduga perempuan itu mempunyai masalah dan ingin Rasulullah menyelesaikan masalah tersebut.

Selepas beberapa ketika, perempuan itu akhirnya bersuara, "Wahai Rasulullah, aku serahkan diriku padamu." Perempuan itu tunduk dan merendahkan dirinya.

Rasulullah berfikir seketika, ini kerana baginda inginkan kepastian tentang maksud perempuan itu. Belum pun persoalan itu terjawab, datang seorang lelaki muda berdiri di sebelah perempuan itu.

"Wahai Rasulullah, kahwinkanlah aku dengannya jika tuan tidak berhajat kepadanya", beritahu lelaki itu sambil memandang wajah Rasulullah SAW yang manis.

Rasulullah SAW bertanya, "Wahai anak muda, adakah kau mempunyai sesuatu yang boleh di jadikan mas kahwin untuknya?"

"Saya tidak mempunyai apa-apa selain kain sarung yang saya pakai ini ya Rasulullah," jawab pemuda jujur itu.

"Jika kamu memberi kain sarung ini, sudah tentu kamu tidak berkain sarung. Kamu carilah sesuatu yang boleh di jadikan mas kahwin selain daripada kain sarung ini," cadang Rasulullah SAW sambil memerhatikan lelaki yang kurang berkemampuan itu.

Lelaki itu diam sebentar dan berfikir. Setelah agak lama berfikir, akhirnya dia bersuara, "Ya Rasulullah, ketika ini saya memang tidak mempunyai apa-apa," jelas lelaki itu dengan wajah yang agak sedih.

"Kalau begitu, kamu carilah apa-apa pun, meskipun sebentuk cincin besi." Rasulullah cuba menyelesaikan masalah lelaki itu.

Lelaki itu pergi mencari cincin besi seperti yang di cadangkan oleh Rasulullah SAW. Namun, tidak beberapa lama kemudian, lelaki itu kembali kepada Rasulullah dengan wajah yang sugul.

"Saya gagal dapatkan apa yang Rasulullah cadangkan," luah lelaki itu dengan perasaan kecewa.

"Begini sahajalah, oleh kerana kamu tidak mempunyai apa-apa untuk di jadikan mas kahwin, adakah kamu menghafal mana-mana surah yang terdapat dalam al-Quran?"

"Ada ya Rasulullah," ujar lelaki itu sambil membacakan surah-surah yang di bacanya termasuklah surah al-Ikhlas.

"Kalau begitu, aku nikahkan engkau dengan wanita ini dengan mas kahwinnya surah-surah al-quran yang engkau hafal itu," beritahu Rasulullah SAW kepada pasangan itu. 

Mendengar apa yang di khabarkan kepada Rasulullah SAW itu, pasangan tersebut berasa lega kerana dapat berkahwin walaupun dengan surah-surah al-Quran yang di hafalnya.

Di sinilah kebijaksanaan Rasulullah SAW terserlah apabila tidak memaksa pasangan yang tidak berkemampuan menyediakan mas kahwin yang tidak mampu di sediakan.

Dalam sepotong hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda, "sesiapa yang memberi mas kahwin kepada seorang perempuan berbentuk tepung atau kurma maka di halalkan perempuan itu baginya dan perkahwinan itu adalah sah."

Jelas menunjukkan, dalam Islam tidak ada paksaan berapa mas kahwin dan apa yang hendak di berikan. Islam juga memudahkan mereka yang kurang mampu dan menyediakan seadanya untuk pasangan mereka. 

Islam sangatlah mudah, tapi kita jangalah memudahkannya.

Wallahualam....


Haniza
ID 1065866
0135131481




You Might Also Like

0 comments